Sukan

Selangor FC mampu mencabar ‘ego’ JDT

SETELAH tujuh musim menyaksikan Liga Malaysia (Liga-M) didominasi Johor Darul Ta’zim (JDT), kini Selangor FC disebut-sebut sebagai kelab yang mampu mencabar ‘ego’ skuad H@rimau Selatan itu dalam saingan liga yang akan bermula pada Jumaat ini.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan berkata, skuad Gergasi Merah itu telah berbelanja besar musim ini bagi membawa masuk jurulatih serta pemain-pemain berkaliber dalam usaha merealisasikan hasrat untuk kembali menjadi sebuah pasukan digeruni.

“Bagi saya, pasukan yang dilihat mampu memberikan cabaran kepada JDT musim ini adalah Selangor FC berdasarkan kepada perbelanjaan yang dibuat bagi membentuk pasukan berkenaan.

“Sangat menarik untuk melihat sejauh mana perbelanjaan besar itu digunakan oleh Selangor FC dan adakah mereka mampu untuk mencabar JDT dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Selangor FC musim ini membawa masuk jurulatih serta pemain dari Jerman seperti Karsten Neitzel, Manuel Konrad, Tim Heubach dan Oliver Buff dari Switzerland bagi memperkuatkan skuad Merah Kuning itu.

Selain itu, Selangor FC turut dilihat memiiki jentera serangan ampuh apabila turut mengekalkan khidmat penjaring terbanyak Liga Super musim lalu Ifedayo Olusegun untuk digandingkan pemain kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang juga penjaring gol kedua terbanyak Liga Super musim lalu.

Sementara itu, Sathianathan berharap, Selangor FC mampu membuktikan perbelanjaan besar mereka bagi saingan Liga-M kali ini mampu menghadirkan kejayaan selari dengan misi yang diharapkan pasukan itu.

“Jika sebelum ini ramai yang bercakap JDT berjaya sebab berbelanja besar, sekarang Selangor FC pula yang buat begitu. Justeru, dengan perbelanjaan sedemikian diharap ia berbaloi dan mampu menjadikan skuad Merah Kuning itu sebagai kelab yang digeruni kali ini.

“Kita nak tengok, apakah dengan perbelanjaan seperti itu mampu memberikan kejayaan atau pun kejayaan terhasil daripada pengurusan yang baik bagi sesebuah pasukan bola sepak.

sumber : SH

“Dalam masa sama, saya percaya jika dilihatkan kepada setiap pasukan, saingan liga kali ini akan kembali meriah dan memberikan cabaran yang sangat bagus untuk liga kita,” katanya.