Sukan

Selepas JDT II, Selangor II menjadi mangsa NSFC

Negeri Sembilan (NS) menjadikan Selangor II mangsa kedua mereka selepas melakar kemenangan 2-1 biarpun mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Pertahanan Negeri Sembilan, Annas Rahmat dilayang kad kuning kedua pada minit ke-89 sekali gus diarahkan keluar padang selepas melakukan kek@saran ke atas Nazrin Nasir.

Skuad kendalian K. Devan sebelum ini memulakan aksi pertama liga dengan langkah kanan apabila menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dengan keputusan yang sama pada Sabtu lalu.

Turun dengan motivasi tinggi selepas meraih tiga mata pada aksi pertama liga, kedua-dua pasukan jelas bersemangat untuk memburu kemenangan kedua namun tuan rumah lebih awal menemui rentak apabila melakukan s3rangan bertali arus ke gawang pelawat sebaik sahaja wisel permainan ditiup.

Begitupun, jentera Selangor II yang diketuai pemain import dari Myanmar, Hein Htet Aung berdepan kebuntuan untuk menembusi gawang yang dikawal penjaga gol pelawat, Kaharuddin Abdul Rahman.

Sebaliknya, dengan hanya satu serangan balas pantas dari sebelah kiri gawang tuan rumah, disusuli lorongan cantik S.Deevan Raj, sebelum berjaya disudahkan R.Barathkumar menerusi rembatan kencang untuk meletakkan skuad Hobin Jang Hobin mendahului 1-0 pada minit ke-32.

Gol itu nyata menyuntik motivasi buat anak buah K. Devan apabila terus menggandakan asakan ke gawang tuan rumah.

Selangor II turut berpeluang menyamakan kedudukan pada minit terakhir babak pertama namun sepakan bola mati Htet Aung sekadar menggegar palang pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, perlawanan kembali dikuasai tuan rumah sehingga memaksa pertahanan Negeri Sembilan bekerja keras menahan asakan bertali arus skuad kendalian Michael Feichtenbeiner.

Usaha keras Selangor II akhirnya membuah hasil apabila tandukan pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar berjaya menggegar jaring pasukan pelawat untuk gol penyamaan pada minit ke-72.

Ketika perlawanan hampir berakhir dengan keputusan seri, penyerang import dari Cameroon, Alain Thierry Akono muncul wira dengan menanduk gol kemenangan buat skuad Hobin Jang Hobin membawa pulang tiga mata.

sumber : UM

Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan menerajui takhta liga buat sementara waktu dengan mengumpul enam mata.