Sukan

Status ‘Wak Doyok’ bukan lagi pemain import Perak FC

Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) mengumumkan bahawa striker kelahiran Brazil, Guilherme De Paula telah didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Perkembangan terkini berhubung perkara tersebut disahkan oleh laman Facebook rasmi Perak FC, sebentar tadi.

Keadaan itu memberikan gambaran jelas bahawa permohonan untuk menjadikan striker berusia 34 tahun itu sebagai pemain naturalisi seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini sudah pun berjaya.

Dengan status baharu dipegang De Paula itu menyaksikan Perak memiliki dua lagi kekosongan pemain import yang boleh diisi pada jendela perpindahan kedua nanti dimana salah satunya melibatkan kuota Asia.

De Paula yang turut mesra dengan panggilan ‘Wak Doyok’ dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mula beraksi dalam kancah Liga Malaysia pada musim 2015 apabila beliau menyarung jersi Selangor.

Musim sulung tersebut menyaksikan beliau menjadi antara tunjang buat skuad G3rgasi Merah itu menjulang trofi Piala Malaysia dan kemudiannya beliau memilih untuk berhijrah ke Cyprus.

Tidak sampai semusim, De Paula kembali ke Malaysia untuk bersama PDRM FA dan mengecapi nikmat kecemerlangan bersama Kuala Lumpur bermula musim 2017 hingga 2019.

Bersama Kuala Lumpur, De Paula memegang rekod selaku penjaring terbanyak pasukan tersebut dalam kempen Liga Super dengan meledakkan 21 jaringan, berkelebihan sembilan gol meninggalkan striker veteran, Indra Putra Mahayuddin.

Beliau menyertai Perak pada musim lalu dan khidmatnya masih lagi ditagih oleh skuad Yob untuk mengepalai jentera serangan selepas mereka baharu sahaja kehilangan pel3dak berb!sa, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang memilih Selangor sebagai destinasi seterusnya.

Dalam perkembangan lain mengenai Guilherme De Paula, beliau berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan ketika membantu Perak menundukkan Penang FC 2-1 pada aksi persahabatan di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.