Tiada jaminan awal buat Skuad H@rimau Malaya

HARAPAN skuad bola sepak kebangsaan untuk menerima dua dos suntikan vaksin C0v!d-19 sebelum awal bulan depan mungkin tidak kesampaian apabila tiada jaminan diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau tidak dapat berikan jaminan buat skuad H@rimau Malaya yang bersiap untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal Jun depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dijangka berlepas ke Bahrain 19 Mei depan bagi mengharungi dua aksi persahabatan terlebih dahulu sebelum berangkat ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk saingan kelayakan.

“Berhubung Harimau Malaya, saya tidak dapat beri jaminan (vaksin sebelum berangkat ke Bahrain) kerana saya Menteri Belia dan Sukan sahaja.

“Tugas saya hanya untuk mengemukakan perkara ini (vaksin awal Harimau Malaya). Jika saya beri jaminan, apa pula kata Khairy (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi),” katanya selepas Program Imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras semalam.

Turut hadir ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Sebelum ini, pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berharap pemain-pemain kebangsaan disuntik vaksin sepenuhnya sebelum mereka berlepas ke Bahrain.

Pada aksi kelayakan nanti, skuad kebangsaan bakal menentang UAE sebelum bertemu pendahulu, Vietnam dan menamatkan saingan peringkat kumpulan berdepan Thailand.

Dalam perkembangan lain, Reezal gembira apabila Program Imunisasi Covid-19 itu berjalan tanpa sebarang masalah selain menjelaskan dos kedua bakal diberikan pada 4 Mei depan.

sumber : Konline

Seramai 264 atlet, jurulatih serta pegawai, terutamanya yang terlibat dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 menerima suntikan vaksin jenis Pfizer pada program imunisasi itu.