Sukan

Tidak timbul (isu) keputusan sebelah pihak

Tidak timbul sebarang isu pertembungan atau keputusan sebelah pihak susulan pelan pemisahan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dengan Perak FC melalui penubuhan syarikat Perak FC Sdn Bhd.

Menjelaskan perkara itu, Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata sebahagian pegawai dan kakitangan badan induk berkenaan juga akan diserap atau ditempatkan di Perak FC.

Katanya, PAFA juga meluluskan untuk melantik seorang daripada ahli jawatankuasanya untuk menjadi pengarah syarikat terbabit.

“Jadi tidak timbul (isu) keputusan sebelah pihak dan saya anggap isu ini sudah selesai sebab semua sudah setuju melalui mesyuarat hari ini. Bila kita bincang, kita sepakat Perak FC dan PAFA umpama anak dengan bapa yang kalau tersilap sikit itu biasalah namun hala tujunya tetap sama.

“Mesyuarat hari ini juga meluluskan kebenaran kepada syarikat Perak FC untuk melantik ketua pegawai eksekutif dalam tempoh setahun selain tiga kakitangan daripada luar manakala selebihnya menggunakan kakitangan PAFA sedia ada.

“Kita berbincang elok-elok, supaya kalau boleh tiada (pihak) yang terabai dan diabaikan. (Harapnya) bantu juga (khususnya mengenai) jawatan kakitangan PAFA (sedia ada),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang pertama pada 2021 di sini hari ini. Hadir sama Naib Presiden (ii) PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin.

Terdahulu media sebelum ini melaporkan bekas Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata PAFA dan Perak FC akan menjadi dua entiti yang berlainan serta mempunyai bidang tugas dan tanggungjawab berbeza.

Sementara itu ditanya mengenai tohmahan kononnya terdapat pertembungan dan konfrontasi antara dua entiti itu, Muhammad Yadzan menyifatkan ia hanya sekadar sentimen dan dakwaan kosong sekadar untuk mengapi-apikan antara kedua-duanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Yadzan turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Bendahari Kehormat PAFA manakala EXCO Belia, Sukan, Komunikasi, dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed sebagai EXCO tambahan.

Beliau berkata, pelantikan Sham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu adalah bagi menggantikan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abd Khalid yang melepaskan jawatannya itu sebelum ini.

Tindakan Iskandar Dzulkarnain itu adalah susulan peletakan jawatan Ahmad Faizal dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden PAFA sebelum ini.

sumber : BH

Muhammad Yadzan berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju menerima peletakan jawatan ketiga-tiga individu terbabit.