Sukan

Tiga pasukan Liga M kemungkinan berdepan penarikan semula lesen

Tiga pasukan yang berjaya mendapatkan lesen penuh untuk bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) 2021 masih tidak boleh lega memandangkan mereka tetap perlu melunaskan ‘hutang’ seperti sudah dipersetujui.

Tiga pasukan terbabit iaitu Melaka, Kelantan dan Sarawak United yang gagal mematuhi surat akuan berkanun (SD) sudah diisytiharkan, bakal menyaksikan berdepan sekatan termasuk kemungkinan penarikan semula lesen oleh First Instance Body Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi FIB Pelesenan Kelab FAM, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata pihaknya sentiasa memantau pelan pembayaran yang dipersetujui oleh tiga pasukan terbabit sebagai usaha memastikan tunggakan dapat diselesaikan.

“Merujuk kepada bukti pembayaran yang diserahkan kepada FAM, Melaka sudah berjaya membuat bayaran pertama sebanyak RM476,160.00 dan Kelantan pula sudah membuat bayaran sebanyak RM44,327.00 manakala bakinya akan dibayar mengikut jadual pembayaran yang diserahkan.

“Sarawak United FC pula akan memulakan bayaran ansurannya mulai Februari 2021. Pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan terbabit masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.

“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), lesen kelab mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa,” katanya.

Sebagai rekod, sebanyak enam daripada tujuh pasukan yang diberikan lesen kelab kebangsaan secara bersyarat oleh badan induk itu sebelum ini berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan sekali gus dianugerahkan lesen penuh untuk beraksi pada musim ini.

Enam pasukan terbabit adalah dua dari Liga Super iaitu Pahang dan Melaka serta empat pasukan Liga Perdana iaitu Kelantan, Sarawak United, Pulau Pinang dan Kuching FA.

sumber : BH

Sementara lesen bersyarat yang dipegang oleh UKM FC sudah ditarik balik kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Namun lesen yang diperoleh semua enam pasukan ini hanyalah lesen kebangsaan FAM dan ia tidak membabitkan lesen AFC.