Sukan

Tundukkan KDA FC 2-0, JDT Julang Piala Sumbangsih Buat kali keempat

Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan saingan Liga Malaysia musim ini dengan langkah bergaya apabila menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) 2-0 dalam perlawanan pertama liga yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Jaringan kemenangan JDT disumbangkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-35, dan Natxo Insa pada minit ke-67.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad H@rimau Selatan mengekalkan penguasaan mereka dalam Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut sejak 2018.

Pasukan itu sebelum ini turut menjulang Piala Sumbangsih pada tahun 2015 dan 2016.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengutip tiga mata pertama, sekali gus mendahului senarai Liga Super musim ini menerusi perlawanan pertama liga.

Piala Sumbangsih yang juga dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu dijulang sendiri pemain dan pengurusan kelab selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan dan beroleh beberapa percubaan berbahaya di pintu gol lawan masing-masing.

Dua percubaan awal pasukan tuan rumah bagaimanapun sekadar menggegar gawang, masing-masing pada minit ke-4 dan ke-10, menerusi percubaan Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera.

Percubaan berbahaya pertama daripada Kedah muncul pada minit ke-18 apabila rembatan kencang Tchetche Kipre berjaya ditepis keluar penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.

Kedua-dua pasukan selepas itu terus mengatur gerakan dalam percubaan mereka mendapatkan jaringan sebelum JDT memecah kebuntuan gol pada minit ke-35 menjadikan kedudukan 1-0.

Jaringan yang terhasil daripada sepakan penjuru itu disempurnakan Safawi Rasid yang menerima hantaran dari Afiq Fazail di dalam kotak penalti.

Gol kedua tuan rumah diperoleh pada minit ke-67 apabila percubaan rendah Natxo Insa dari luar kotak penalti berjaya gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Shahril Sa’ari.

Kedua-dua pasukan terus mengasak sehingga akhir perlawanan namun keputusan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Terdahulu, sebelum perlawanan, JDT menerima lima Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual iaitu Penjaga Gol Terbaik, Farizal Marlias; Pertahanan Terbaik, Aidil Zafuan; Pemain Tengah Terbaik, Safawi Rasid; Jurulatih Terbaik 2020, Benjamin Mora dan Pasukan Terbaik 2020.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

sumber : UM

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League, Datuk Abd. Ghani Hassan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.