Sukan

Wan Kuzain Sah Sertai Pasukan Baharu

Pemain muda negara, Wan Kuzain Wan Kamal telah menemui pasukan baharu bagi menghadapi saingan Kejuaraan USL musim ini apabila beliau sah menyertai Rio Grande Valley FC.

Perkara ini diumumkan oleh Rio Grande menerusi satu video yang dimuat naik di laman media sosial mereka hari ini dimana kelab yang berpangkalan di Edinburgh, Texas itu merupakan kelab kelima Kuzain dalam saingan USL.

Kami gembira membawa Wan Kuzain ke kelab kami kerana dia adalah seorang pemain yang sangat berbakat dan mempunyai pengalaman tidak hanya beraksi di USL tetapi juga di Major League Soccer (MLS) dengan Sporting Kansas City.

“Walaupun masih muda, kami percaya dia dapat menjadi tonggak utama bagi pasukan kami untuk menerapkan gaya permainan yang bagus dan kami yakin dia dapat menjadi pemain yang mampu untuk mempengaruhi permainan dengan cara yang luar biasa untuk kelab kami,” kata ketua jurulatih dan pengarah sukan Rio Grande Valley, Wilmer Cabrera.

Sebelum ini, Kuzain beraksi bersama Sporting Kansas City selama empat musim dimana beliau turut terlibat bersama skuad utama dan juga pasukan pembangunan. Namun, abang kepada Wan Kuzri itu terpaksa berpisah dengan Sporting Kansas setelah kontrak beliau tidak disambung pada penghujung musim 2020.